A Dreamer

I am currently working on an awesome look for my blog, won't be long :)

  • 00

    days

  • 00

    hours

  • 00

    minutes

  • 00

    seconds

Sign up here to be one of the first to know when it's ready.

Monday, May 20

preview : Hanya Aku


Doktor kata aku sudah tidak mempunyai masa yang lama untuk kekal menikmati kehidupan normal seperti gadis-gadis lain. Memang benar dia hanyalah seorang doktor dan tidak mempunyai kuasa untuk menghidupkan atau mematikan seseorang. Tetapi, dia telah 7 tahun menjagaku, membuat penyelidikan tentang penyakitku dan sudah tentu apa yang dibicarakan olehnya bukan hanya kata-kata. Memberitahu khabar berita ini kepadaku mungkin merupakan sesuatu yang sukar baginya. Aku mengerti. Hanya terdiam, tunduk dan kaku. Aku semakin layu, tidak seaktif gadis-gadis lain. Hanya doa yang mampu terucap di bibirku. Berdoa semoga aku diberi satu lagi peluang untuk melihat dunia keesokkan hari. Berdoa supaya maseh ada ‘esok’ untukku.

                Aku seorang remaja. Remaja yang selalu inginkan kebebasan untuk menikmati dunia remaja. Aku seorang gadis periang yang selalu membawa senyuman di bibir teman-temanku. Aku mungkin tidak sepandai yang lain tetapi aku tidak pernah berputus asa mencuba. Mencuba menjadi seorang insan yang mampu bersaing seperti mana yang lain. Kegagalan selalu mengajar aku erti kejayaan. Benar, gagal sekali bukanlah bererti gagal selamanya. Aku menuntut ilmu di sebuah universiti. Kehidupan sebagai seorang pelajar universiti merupakan antara kenangan terindah dalam hidupku. Sehingga saat ini, tidak pernah sekalipun aku menyesali segala erti kehidupan yang telah aku pelajari semasa di situ. Aku bersyukur, Ya Allah. Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana diberi peluang sebegitu. Peluang yang datang sekali seumur hidupku. Ya, hanya sekali.

                Dua bulan aku tidak menghadiri kuliah. Selama dua bulan itulah aku terlantar, hanya bertemankan diri sendiri. Hanya aku dan diriku. Mungkin namaku sudah tidak lagi ada di universiti itu. Mungkin juga sudah tidak lagi di bibir teman-temanku. Aku mengerti, jika ini yang terbaik untukku, aku terima. Pernah aku bertanya kepada kepada Pencipta, “kenapa mesti aku? Kenapa aku?”, dan setiap kali soalan itu terbit di bibir, air mataku mula gugur ke pipi. Setiap kali itu juga, tapak tangan memegang dada, beristighfar, menyesali setiap bait kata-kata yang aku ucapkan kepada-Nya. Aku tahu aku tidak sepatutnya mempersoalkan apa yang telah Dia rancang untukku. ‘Kun Fayakun’, ‘Jika Allah menghendakkan sesuatu, maka jadilah ia’.

                Aku, seperti remaja lain juga mempunyai teman rapat yang akan selalu ada untukku jika aku perlu dan akan selalu ada denganku. Mereka tidak pernah gagal menjadi yang terbaik dan sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hatiku. Tetapi saat ini, sekarang, aku sendirian. Tiada mereka menemaniku. Tidak. Aku tidak pernah menyalahkan sesiapa dengan keadaan ini. Aku redha. Aku terima. Tempatku hanyalah bersama keluarga, dan aku hanyalah untuk-Nya. Tiada yang lain. Kekasih. Aku juga mempunyai kekasih. Pernah mempunyai kekasih. Kini aku sendirian. Hanya aku.

                Semakin hari, aku semakin tidak mampu menjadi sekuat dulu. Aku semakin takut.

                Pernah aku merasa seperti hilang nafasku dan berhenti degup jantungku. Aku cuba mencari udara, mencari nafas untuk kembalikan degupan jantung. Ketakutan membuatkan aku panik, aku mencuba dan terus mencuba. Air mata tidak berhenti membasahi pipi tatkala telapak tanganku memegang dada, mencuba untuk bernafas. Aku terlalu takut. Terlalu takut untuk pergi, ya Allah. Aku tahu akan tiba masanya aku kembali kepada-Mu. Tetapi entah mengapa setiap kali aku menutup mata untuk tidur, aku tidak bersedia untuk terus tidur. Aku belum bersedia untuk pergi. Terlalu takut untuk pergi. 



Powered by Blogger.
-